Jumaat, 23 Oktober 2015

Sejarah Lidah Buaya (aloevera)


Dikenali sebagai ‘Tongkat Sakti Syurga’ oleh orang asli Amerika dan dipanggil ‘Doktor Dalam Pasu’ oleh penjelajah agung Christoper Columbus, aloe vera ataupun lidah buaya sememangnya bukanlah suatu pokok yang biasa.

Tulisan-tulisan yang merekodkan keberkesanan lidah buaya untuk pelbagai kegunaan kesihatan dan bagi rawatan tradisional telah diperturunkan dari seawal 4,000 tahun dahulu, seperti yang dijumpai pada Ebers Papyrus, iaitu suatu tulisan Mesir dari tahun 1500an Sebelum Masihi.

Dalam manuskrip perubatannya, Pedianos Dioscorides seorang pakar perubatan terkemuka yang hidup lebih kurang 2000 tahun dahulu juga menerangkan dengan terperincinya kegunaan lidah buaya untuk pelbagai rawatan tradisional dalaman dan luaran.

Mengikut lagenda, Iskandar Zulkarnain telah menakluki pulau Madagascar atas gesaan penasihatnya iaitu ahli falsafah terkenal Aristotle semata-mata untuk memperolehi bekalan lidah buaya yang mencukupi bagi kegunaan tenteranya, iaitu untuk disapu pada luka-luka askar-askarnya. Ratu Cleopatra juga telah dikatakan menganggap kecantikannya disebabkan oleh lidah buaya yang sering digunakannya.


Berdasarkan fakta-fakta dan lagenda-lagenda di atas serta pelbagai dokumen sejarah dari merata-rata tempat di seluruh dunia, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa lidah buaya adalah salah satu daripada tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam rawatan purba.

Dalam dunia moden hari ini, mungkinnya kegunaan lidah buaya yang paling dikenali ramai ialah sebagai ejen untuk melegakan dan memulihkan luka.

Akan tetapi, ramai para penyelidik percaya bahawa lidah buaya boleh membawa lebih banyak lagi manfaat yang lain di samping menolong memulihkan luka. Bukti-bukti beranekdot yang dikumpulkan daripada surat-surat perakuan oleh pengguna-pengguna yang berpuas hati dengan penggunaan lidah buaya dan eksperimen-eksperimen makmal mencadangkan bahawa lidah buaya mungkin boleh membantu untuk mengatasi pelbagai keadaan kesihatan daripada masalah kulit hingga ke masalah dalaman yang berkait dengan usus dan sistem imun.






Sejak penemuan semula lidah buaya pada awal 1900am, pelbagai penyelidikan telah dijalankan oleh saintis di seluruh dunia ke atas lidah buaya. Walaupun tidak terdapat sebarang unsur spesifik lidah buaya yang telah dikenalpasti boleh merawat apa-apa penyakit tertentu, namun secara umumnya para penyelidik percaya bahawa ia adalah tindakan bersinergi beratus-ratus sebatian dalam lidah buaya yang menghasilkan kesa-kesan positif yang telah dialami oleh pengguna-pengguna lidah buaya.

Analisa makmal gel aloe vera menunjukkan bahawa ia mengandungi lebih 200 sebatian termasuk 20 jenis asid amino, 12 antrakuinon, 12 vitamin, 8 enzim, 20 mineral, 4 sterol tumbuh-tumbuhan, monosakarida, polisakarida, saponin, asid salisilik, lignin dan hormon. Tindakan-tindakan bersinergi sebatian-sebatian inilah yang dipercayai imunnya, yang pula menolong memperkuatkan sistem pertahanan dan pemulihan badan kita untuk mengatasi pelbagai keadaan kesihatan.

Nota:
Sila ambil perhatian bahawa rencana di atas dimaksudkan semata-mata untuk pengetahuan sahaja, dan tidak membuat sebarang tuntutan mengenai keberkesanan lidah buaya untuk rawatan sebarang penyakit sekalipun.

Credit:flp.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan